50 syarikat hutang MPAJ RM3.4 juta

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Kira-kira 50 syarikat berhutang dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sebanyak RM3.4 juta akibat kegagalan membayar tunggakan cukai taksiran.

Yang Dipertua MPAJ, Datuk Mohamed Yaacob berkata, setiap syarikat mempunyai hutang sekurang-kurangnya RM10,000 dengan salah sebuah daripadanya berhutang sebanyak RM1.7 juta dan masih gagal membayarnya sehingga ke hari ini.

Tegasnya, semua syarikat berkenaan perlu sedar dan segera membuat pembayaran sebelum tindakan mahkamah diambil oleh pihak MPAJ.

"Jumlah keseluruhan tunggakan cukai taksiran oleh 50 syarikat itu ialah RM3,394,647.80. Angka ini dikira tinggi dan senarai ini diambil untuk syarikat yang berhutang sekurang-kurangnya melebihi RM10,000 sahaja.

"Kita akan mengambil tindakan segera. Mereka yang terbabit akan berhadapan hukuman penggulungan syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat penuh ahli majlis di Menara MPAJ di sini hari ini.

Katanya, syarikat berkenaan akan diberi notis pembayaran dan kesedaran pemilik dilihat penting untuk memberi kerjasama bersama MPAJ.

Jelasnya, tanggungjawab membayar cukai terletak pada pemilik syarikat dan kegagalan akan dirujuk kepada tindakan penggulungan syarikat di bawah peruntukan Seksyen 218 Akta Syarikat 1965.

"Kita harap mereka ini segera membayar cukai yang ditetapkan. Kita tidak nampak masalah yang timbul kepada mereka untuk membayar cukai.

"Ini tanggungjawab. Sama seperti cukai pendapatan kepada individu, cukai ini pula terletak kepada syarikat," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed berkata, lesen kafe siber di kawasan MPAJ sebenarnya sudah dibekukan sejak tahun 2007 lagi.

Tegasnya, mana-mana kafe siber yang dibuka dan tidak terdapat di dalam senarai mereka disifatkan beroperasi secara haram.

"Kita sudah dua tahun membekukan lesen kafe siber. Jadi tidak timbul sebenarnya kemunculan kafe siber baru.

"Kita minta orang ramai membantu melaporkan mana-mana kafe siber yang disyaki haram atau menjalankan operasi judi," katanya.

Tambahnya, sebanyak 50 kafe siber berlesen di sekitar MPAJ dan selebihnya disifatkan beroperasi secara tidak sah.

"Kita mohon kerjasama orang ramai. Bantuan mereka dilihat membantu sekali gus membersihkan MPAJ daripada gejala tidak sihat," ujarnya.

Sumber:Utusan Malaysia 17/09/2009

0 ulasan:

Catat Ulasan