AMPANG 2 Julai - Kerja-kerja menstabilkan cerun di Taman Bukit Permai, Hulu Klang dijangka memakan belanja sebanyak RM2 juta.
Kerja-kerja itu adalah langkah awal bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Mohammad Yacob berkata, pihaknya akan meminta peruntukan RM2 juta itu daripada kerajaan negeri kerana kos yang perlu ditanggung sangat tinggi.
Menurutnya, MPAJ akan mengadakan pertemuan dengan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan pemaju pada 16 dan 17 Julai ini bagi membincangkan rancangan selanjutnya.
"Buat masa ini MPAJ telah mengambil langkah memaku struktur cerun tersebut semula bagi mengelakkan risiko tanah runtuh berlaku di kawasan tersebut.
"Ini kerana cerun tersebut terbentuk daripada batu granit. Keadaan ini menyebabkan terdapat rongga di dalam struktur cerun tersebut," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPAJ di sini.
Katanya, projek tersebut dijangka bermula Ogos ini dan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk disiapkan.
Beliau berkata, pihaknya akan membuka tender untuk projek menstabilkan cerun tersebut tidak lama lagi.
"Borang tender ini akan dikeluarkan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan dan kaedah yang terperinci diperoleh," katanya.
Sumber
Utusan Malaysia


Kuala Lumpur Time
0 ulasan:
Catat Ulasan