Imbas Kembali-Artikle Berkaitan Bukit Permai

11 Januari 2009 (Ahad) MPAJ pantau cerun Bukit Permai
AMPANG JAYA Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memandang serius keadaan cerun di Taman Bukit Permai di sini yang berisiko untuk berlaku kejadian tanah runtuh. Ahli Majlis MPAJ, Supiramany Sinnapal berkata, ini kerana kawasan itu bukan sahaja berisiko untuk berlaku tanah runtuh tetapi juga pernah dilanda banjir kilat. Katanya, sejak tragedi di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang baru-baru ini, penduduk di situ bimbang kejadian serupa mungkin terjadi di kawasan kediaman mereka itu jika tiada pemantauan dilakukan. "Bukit Permai adalah antara kawasan yang telah diletakkan di dalam keadaan berisiko bersama-sama Taman Melur, Taman Bukit Teratai, Taman Saga dan Taman Mega Jaya," katanya selepas meninjau usaha-usaha membaiki cerun yang dilakukan di kawasan itu. Menurut Supiramany, satu kejadian gelinciran tanah telah berlaku di kawasan itu tidak lama dahulu yang berpunca dari longkang di lereng bukit yang pecah dan mengubah arah aliran air. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad berkata, pihaknya telah melakukan rubble-pitching bagi menahan gelinciran daripada terus berlaku. Beliau berkata, MPAJ dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) juga sedang bekerjasama dan mengkaji langkah lain yang perlu diambil bagi mengatasi masalah struktur tanah di situ yang terjejas akibat hujan. "Ikram sedang menjalankan kajian dan siasatan terperinci terhadap kawasan sekitar lereng dan cerun bukit di sini bagi menentukan tindakan yang perlu diambil," katanya.
CERUN di Taman Bukit Permai, Ampang selepas menjalani proses rubble pitching bagi mengelak kejadian tanah runtuh daripada berulang.
Norhayati menambah, MPAJ memang memberikan perhatian serius terhadap masalah di kawasan itu bagi menjamin keselamatan penduduk di kawasan Bukit Permai. Dalam pada itu, seorang penduduk, Asrul Samsudin, 31, berkata, tidak pernah berlaku kejadian gelinciran tanah dan batu di Mutiara Court, Bukit Permai sebelum ini. "Ini adalah kejadian pertama sejak saya menetap di sini pada tahun 2002 tetapi sebelum ini, terdapat kejadian batu jatuh dari lereng bukit ke kawasan tempat letak kereta," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

0 ulasan:

Catat Ulasan